KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyambut ketibaan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sebaik mereka tiba di tanah air dalam masa terdekat.
Menurut beliau, satu himpunan khas turut dirancang bagi meraikan kepulangan para aktivis yang dianggap wira dan wirawati negara itu sebagai simbol penghargaan terhadap keberanian mereka memperjuangkan nasib rakyat Gaza.
“Saya menzahirkan penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi.
“Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Bagaimanapun, Anwar tidak memperincikan tarikh dan masa rasmi ketibaan delegasi Malaysia serta pelaksanaan himpunan khas berkenaan.
Terdahulu, Perdana Menteri turut berinteraksi dengan para aktivis Malaysia di Istanbul, Türkiye, bagi menzahirkan ucapan terima kasih dan bertanya khabar selepas mereka dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis.
Beliau memaklumkan semua sukarelawan berada dalam keadaan baik dan bersemangat tinggi, walaupun baru melalui pengalaman getir semasa ditahan.
Semalam, Anwar turut mengesahkan bahawa kesemua 23 wira dan wirawati Malaysia yang menyertai misi GSF telah selamat tiba di Istanbul sekitar 6.45 petang waktu Malaysia, sebelum diberikan pemeriksaan kesihatan serta sokongan psikologi oleh kerajaan Türkiye.