Misi Diplomasi Anwar, Sokongan Turkiye Berjaya Selamatkan Delegasi GSF

KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat Malaysia menarik nafas lega selepas semua 23 aktivis negara yang ditahan rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan dibebaskan dan kini berada di Istanbul, Turkiye.

Kesemua mereka berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada jam 6.45 petang waktu Malaysia dan selamat tiba di Istanbul kira-kira dua jam kemudian dengan pesawat Turkish Airlines yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye.

Mereka dijangka pulang ke tanah air pada Isnin ini selepas menjalani pemeriksaan kesihatan dan sesi pemulihan di Istanbul.

Pembebasan itu hasil rundingan intensif antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, dan beberapa pemimpin antarabangsa lain termasuk kerajaan Jordan serta Amerika Syarikat.

Menurut Anwar, koordinasi antara pelbagai kementerian turut memainkan peranan penting, termasuk Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang berhubung dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio, serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berbincang dengan Utusan Khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff.

Pensyarah USM, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, berkata kejayaan membawa pulang semua aktivis itu membuktikan kewibawaan dan kepimpinan diplomatik Anwar di peringkat antarabangsa.

“Beliau menunjukkan kepimpinan responsif dan tegas dalam melindungi keselamatan warganegara, sekali gus mengukuhkan solidariti Malaysia terhadap Palestin,” katanya.

Sivamurugan turut menyifatkan Anwar sebagai antara suara lantang dunia Islam dalam menentang kekejaman Israel dan memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin.

Anwar menyanjung tinggi keberanian kesemua 23 aktivis itu yang dianggap sebagai wira dan wirawati negara, kerana tetap berani menyertai misi berisiko tinggi demi membantu penduduk Gaza.

Mereka antara lebih 500 sukarelawan dari 45 negara yang menyertai GSF untuk memecahkan sekatan haram Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Antara nama yang turut menyertai misi itu ialah Heliza Helmi dan adiknya Hazwani Afiqah, Zizi Kirana, Farah Lee, serta Ardell Aryana bersama beberapa lagi aktivis tempatan.

GSF menjadi simbol kebangkitan global menentang kekejaman Israel apabila kapal konvoi mereka dipintas dan ditahan tentera Zionis di Laut Mediterranean, sebelum aktivis dibawa ke pelabuhan Ashdod dan ditahan beberapa hari.

Pembebasan mereka bukan sahaja mengakhiri detik cemas bagi keluarga di tanah air, malah mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara yang berani bersuara demi kemanusiaan sejagat.

BBerkaitan

Latest articles