Kami Diletak Dalam Sangkar, Tak Dibenar Pakai Hijab

ISTANBUL: “Mereka layan kami seperti binatang… ubat kami pun dibuang.”

Itu luahan Hazwani Helmi, salah seorang sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, ketika menceritakan pengalaman ngeri ditahan dan diculik oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.

Hazwani, yang turut menyertai misi itu bersama kakaknya Heliza Helmi, berkata tahanan yang dilalui mereka merupakan pengalaman paling menakutkan dan tidak berperikemanusiaan.

“Ia ibarat satu bencana besar. Kami tidak diberi makanan dan minuman bersih, malah ubat-ubatan kami dibuang.

“Mereka juga mengheret Greta (Thunberg) dan meletakkan bendera Israel di mukanya. Saya rasa dunia perlu tahu betapa kejamnya rejim ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Istanbul, sebaik dibebaskan daripada tahanan.

Seorang peserta dari Amerika Syarikat, Windfield Bifr, turut mengesahkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu apabila mendakwa Greta Thunberg, aktivis alam sekitar terkenal dunia yang turut serta dalam misi GSF, dihalau dan diheret dengan kasar oleh tentera Israel.

“Saya duduk tidak jauh dari Greta. Saya lihat sendiri bagaimana mereka mengheret dan menolak beliau masuk ke sebuah bilik.

“Mereka gunakan Greta untuk menakut-nakutkan kami.

“Dan saya tahu ini hanya sedikit daripada penderitaan sebenar yang dialami rakyat Palestin,” katanya kepada sebuah stesen televisyen Arab.

Seorang lagi peserta Malaysia, Iylia Balqis, turut berkongsi pengalaman memilukan apabila mereka dipaksa menukar pakaian di bawah pengawasan askar lelaki dan diletakkan di dalam sangkar besi di bawah terik matahari.

“Mereka kenakan pelbagai ‘protokol’ hanya untuk buat kami rasa jijik dengan diri sendiri.

“Wanita Islam dilarang memakai hijab, dan kami hanya dibenarkan minum air paip dari tandas,” katanya.

Konvoi GSF, yang berlayar sejak bulan lalu membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, dipintas dan diculik tentera Israel ketika berada di perairan antarabangsa.

Lebih 400 aktivis dan sukarelawan dari 13 negara ditahan dan kemudiannya dibawa ke Penjara Negev, antara pusat tahanan paling kejam di Israel yang menempatkan ribuan rakyat Palestin.

Bagaimanapun, selepas rundingan diplomatik melibatkan kerajaan Turkiye dan Malaysia, seramai 137 aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia dan 36 warga Turkiye dibebaskan semalam dan diterbangkan ke Istanbul.

Insiden penahanan dan layanan kejam itu telah mencetuskan gelombang kemarahan global, sekaligus memperkukuh solidariti antarabangsa terhadap perjuangan membebaskan Gaza.

BBerkaitan

Latest articles