Anwar: Walau Gagal Tembus Gaza, Misi GSF Berjaya Dedah Wajah Sebenar Israel

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Misi Global Sumud Flotilla (GSF) tetap mencapai kejayaan besar walaupun tidak berjaya menembusi Gaza, apabila usaha itu berjaya membuka mata ratusan juta penduduk dunia mengenai kekejaman rejim Zionis Israel.

Menurut Anwar, pendedahan tersebut menjadi bukti jelas bahawa Israel bukan sahaja menentang, malah menghalang sekeras-kerasnya sebarang bentuk bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Pada pandangan saya, misi GSF sangat berjaya. Peserta tahu bukan mudah untuk sampai ke Gaza, tetapi mereka sudah menyumbang sesuatu yang besar iaitu kesedaran global tentang betapa kejam dan tidak bertamadunnya rejim Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Taklimat Usaha Pembebasan Aktivis dan Sukarelawan Malaysia serta Pelan Damai Gaza yang disiarkan secara langsung di Facebook, hari ini.

Anwar menegaskan bahawa tindak balas keras Israel terhadap misi flotila itu adalah bukti negara tersebut ditadbir pemimpin yang berfalsafah zalim.

“Negara bertamadun sekurang-kurangnya akan memberi ruang kepada bantuan kemanusiaan. Tetapi Israel memilih untuk menindas. Pengajaran ini tersebar ke seluruh dunia, malah saya percaya tekanan global turut mempengaruhi rundingan damai yang digagaskan Presiden Donald Trump,” jelasnya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan bahawa 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel telah dibebaskan dan dijangka tiba di tanah air pada Ahad malam atau Isnin.

Dalam masa yang sama, Anwar menegaskan pendirian Malaysia tidak akan berganjak daripada perjuangan membebaskan Palestin.

“Keputusan Malaysia Madani mesti selari dengan negara-negara Arab, Islam serta Hamas sendiri. Hamas sudah menyatakan kesediaan supaya serangan dihentikan, Palestin dibebaskan, bantuan kemanusiaan disalurkan dan semua tahanan dibebaskan,” katanya.

Beliau menambah, butiran pelan damai itu perlu diperhalusi bagi memastikan semua pihak terutama Hamas, negara Arab jiran serta dunia Islam bergerak seiring.

Media antarabangsa melaporkan Hamas bersetuju menerima sebahagian daripada 20 perkara yang terkandung dalam pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Pelan itu antaranya merangkumi pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan, pertukaran dengan ratusan tahanan Palestin di penjara Israel, pelucutan senjata kumpulan bersenjata di Gaza serta pengunduran berperingkat tentera Israel sebelum wilayah itu ditadbir pihak teknokrat.

BBerkaitan

Latest articles