KDN Tegaskan Hak Berhimpun Dijamin, Tapi Jangan Sampai Langgar Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan hak berhimpun secara aman seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan dengan tertib, berhemah dan mematuhi undang-undang tanpa menjejaskan keselamatan awam.

Dalam kenyataan malam ini, KDN berkata himpunan tidak boleh mengganggu ketenteraman masyarakat atau menghalang tugas rasmi pasukan penguat kuasa.

“KDN menyokong penuh tindakan tegas PDRM yang berlandaskan undang-undang demi menjamin ketenteraman dan keselamatan negara. KDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar undang-undang, mengganggu ketenteraman awam atau mencetuskan ancaman keselamatan,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan insiden kekecohan ketika Himpunan Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira tengah hari itu, dua peserta ditahan polis selepas cuba menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak sehingga mencetuskan ketegangan. Pergelutan kecil yang berlaku turut menyebabkan seorang anggota polis cedera ketika menjalankan tugas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, memaklumkan siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas

Sehubungan itu, KDN menyeru semua pihak agar mematuhi undang-undang ketika berhimpun serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999 atau di balai polis berhampiran.

BBerkaitan

Latest articles