Keluarga Sukarelawan GSF Terima Bantuan RM1,500 Segera

PUTRAJAYA: Sebanyak 34 keluarga sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza akan menerima bantuan tunai sebanyak RM1,500 dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata bantuan itu dipercepatkan bagi meringankan beban kewangan serta mengurangkan kebimbangan ahli keluarga ekoran penahanan aktivis oleh tentera Israel.

“Usaha sedang dilakukan melalui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) untuk berhubung dengan ahli keluarga sukarelawan. Kita mahu pastikan bantuan ini sampai segera supaya mereka tidak berasa tertekan dengan keadaan yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), hari ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan amanat kepada pelajar Skim Pembiayaan Huffaz (SPH) Jakim 2025, yang menyaksikan seramai 150 penuntut menerima tajaan pengajian dalam dan luar negara.

Menurut Mohd Na’im, bantuan tersebut berkemungkinan dipertimbang untuk diteruskan secara berkala, bergantung kepada keperluan keluarga berkenaan.

“Ketika saya melawat pusat kawalan di Sepang Sabtu lalu, keadaan masih terkawal. Namun selepas penahanan berlaku, kebimbangan mereka terhadap keselamatan ahli keluarga semakin meningkat. Kita akan lihat bentuk sokongan kewangan tambahan jika perlu,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, sebelum ini Mapim telah menyalurkan wang pendahuluan RM5,000 kepada setiap sukarelawan yang menyertai misi tersebut.

Dalam masa sama, katanya, pihak berkuasa agama turut memberi penekanan terhadap sokongan moral dan spiritual untuk membantu keluarga kekal tenang menghadapi ketidaktentuan tempoh pemergian ahli keluarga mereka.

BBerkaitan

Latest articles