Pemuda UMNO Kuala Selangor Kecam Tindakan Israel Halang Konvoi Bantuan Global Sumud

KUALA LUMPUR, — Pemuda UMNO Kuala Selangor mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel yang menahan dan mencegat kapal Konvoi Global Sumud, termasuk Kapal Sumud Nusantara, di perairan antarabangsa pada 1 Oktober lalu.

Konvoi berkenaan membawa ubat-ubatan, makanan serta aktivis kemanusiaan dari seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia bagi membantu rakyat Palestin yang sedang berdepan krisis kemanusiaan terburuk akibat kepungan dan peperangan berpanjangan.

Ketua Pemuda UMNO Kuala Selangor, Aliff Asyraf Azhari, berkata tindakan itu merupakan pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan sejagat.

“Menghalang misi kemanusiaan yang bertujuan menyelamatkan nyawa hanya mendedahkan wajah sebenar rejim Zionis yang tidak menghormati hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan tiga tuntutan utama pihaknya:

Menuntut pembebasan segera semua aktivis kemanusiaan termasuk 12 rakyat Malaysia yang ditahan, tanpa sebarang syarat selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa.

Pemuda UMNO Kuala Selangor bersedia menggerakkan solidariti rakyat Malaysia melalui kempen kesedaran dan mobilisasi aman bagi menyokong perjuangan kemanusiaan rakyat Palestin.

Masyarakat antarabangsa, khususnya negara Islam dan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), digesa bertindak tegas menekan Israel agar menghentikan pencabulan hak kemanusiaan dan membenarkan bantuan disalurkan terus ke Gaza tanpa halangan.

Menurutnya, isu Palestin melangkaui sempadan politik dan agama kerana ia menyentuh soal maruah kemanusiaan sejagat.

“Kanak-kanak, wanita dan warga emas yang tidak berdosa menjadi mangsa utama kezaliman ini. Menghalang bantuan kemanusiaan bermakna menghalang harapan untuk mereka hidup,” tegasnya.

Aliff menambah bahawa Pemuda UMNO Kuala Selangor akan terus berdiri di barisan hadapan dalam menyuarakan keadilan untuk Palestin, sambil menegaskan bahawa kezaliman tidak akan mengalahkan semangat kemanusiaan dan solidariti antarabangsa.

BBerkaitan

Latest articles