SENAWANG: Polis mengklasifikasikan kematian seorang murid lelaki berusia 10 tahun di sebuah sekolah di sini semalam di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan buli melalui komunikasi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah sebelum dibawa ke sebuah klinik swasta oleh guru disiplin.
“Sekitar jam 1.19 tengah hari semalam, kami menerima maklumat mengenai kematian kanak-kanak itu ketika dirawat di klinik. Doktor yang memeriksa mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dipetik Harian Metro.
Menurut beliau, bedah siasat akan dilakukan hari ini untuk menentukan punca sebenar kematian.
Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.
Seksyen 507C merujuk kepada kesalahan ugutan atau ancaman melalui komunikasi sama ada dalam bentuk mesej, panggilan, media sosial mahupun cara lain yang boleh mengganggu emosi mangsa.
Ia adalah sebahagian daripada pindaan baharu Kanun Keseksaan berkaitan kes buli dan gangguan.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya akan menumpukan sokongan psikososial dan emosi kepada murid serta guru sekolah terbabit.
Perkhidmatan kaunseling bersepadu telah digerakkan bermula hari ini bagi membantu komuniti sekolah menghadapi kejadian tragis tersebut.