KUALA LUMPUR: Satu rakaman audio dipercayai suara seorang pemimpin Bersatu mengejutkan apabila mendedahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dikatakan menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon Perdana Menteri, bukannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Audio yang tular di media sosial itu mendakwa perbincangan berkenaan berlaku dalam satu pertemuan sulit antara beberapa pemimpin tertinggi Pas dan Bersatu baru-baru ini.
Antara nama besar Pas yang disebut hadir ialah Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Idris Ahmad.
Menurut suara berkenaan, Abdul Hadi memberi jawapan terus tanpa berlapik ketika ditanya siapa calon Perdana Menteri daripada Pas.
“Tok Guru kata, calon daripada Pas adalah Datuk Seri Hamzah Zainudin,” dakwanya.
Bagaimanapun, suara tersebut menjelaskan kenyataan Abdul Hadi itu adalah pendirian peribadi beliau.
Tidak cukup dengan itu, satu lagi audio berasingan turut bocor, kali ini dikaitkan dengan pertemuan pemimpin Bersatu sehari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti di Shah Alam, yang memperincikan strategi “provokasi” sepanjang persidangan.
Audio itu turut menyebut rancangan untuk membawa kain rentang sokongan secara tersembunyi ke dalam dewan. Kekecohan semasa PAT pada 6 September lalu apabila laungan “turun Tan Sri” dan “hidup Tan Sri” bersahutan ketika ucapan dasar Muhyiddin menambah lagi spekulasi mengenai perpecahan dalaman parti.