KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya telah menunaikan tanggungjawab memulihkan aset negara dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas lebih RM169 juta wang tunai yang dikaitkan dengannya dilucut hak kepada kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kini terpulang kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menentukan sama ada pendakwaan terhadap Ismail Sabri akan diteruskan atau sebaliknya.
“Saya hanya menunggu keputusan Peguam Negara. Sama ada mahu menuduh atau tidak, itu di bawah bidang kuasa beliau.
“Sebagai pihak SPRM, kami sudah jalankan tugas kami untuk memulihkan aset dan aset tersebut telah pun dikembalikan kepada kerajaan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 dan Peluncuran Keep Malaysia Clean (KMC), hari ini.
Majlis tersebut turut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama kehadiran Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pada Rabu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memutuskan dana lebih RM169 juta, yang didakwa milik Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, dilucut hak kepada kerajaan di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM.
Dana itu termasuk:
• RM14.77 juta (ringgit Malaysia)
• S$6.13 juta (dolar Singapura)
• US$1.46 juta (dolar Amerika)
• CHF3 juta (franc Swiss)
• €12.16 juta (euro)
• JPY363 juta (yen Jepun)
• £50,250 (pound sterling)
• NZ$44,600 (dolar New Zealand)
• AED34.75 juta (dirham Emiriah Arab Bersatu)
• A$352,850 (dolar Australia)
Turut disita, jongkong emas seberat 16 kilogram bernilai lebih RM7 juta.
Perintah lucut hak itu dibuat selepas tiada pihak ketiga tampil mencabar notis warta yang dikeluarkan sebelum ini, manakala Ismail Sabri dan Mohammad Anuar juga tidak membantah permohonan SPRM pada prosiding 8 September lalu.