KUALA LUMPUR: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza kini semakin hampir ke destinasi apabila berjaya melepasi Zon Merah R3 pada jam 9.20 malam waktu Malaysia.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abd Alim Araby berkata, jarak konvoi flotilla dengan persisiran Gaza kini hanya tinggal 100 batu nautika dan dijangka tiba sekitar jam 6.32 petang esok.
“Jika tiada gangguan daripada rejim Zionis, GSF akan memasuki Zon Merah R2 pada jam 4.08 pagi waktu tempatan atau 11.08 malam waktu Gaza.
“Kami sentiasa berhubung dengan kapal 24 jam dan berusaha memberikan sokongan moral kepada mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa komunikasi kru kapal dengan dunia luar kini dihadkan bagi mengelakkan sebarang risiko gangguan.
“Kapal-kapal ini sedang melalui fasa persiapan penting. Insya-Allah, kita doakan semuanya berakhir dengan kemenangan,” katanya.
Menurut Sani, kapal Suelle kini berada di hadapan, mendahului 44 kapal lain dalam konvoi dengan kelajuan 5.5 knot.