PUTRAJAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, 55, gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan hari ini dan diperintah menjalani hukuman penjara lapan tahun serta dua sebatan kerana merogol pembantu rumah warga Indonesia enam tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebulat suara menolak rayuan Paul untuk mengetepikan sabitan bersalah yang dijatuhkan sebelum ini.
Sebaik keputusan dibacakan, Paul yang berada di kandang tertuduh kelihatan sugul, manakala isteri dan anak-anaknya dilihat sebak sebelum memegang tangannya ketika beliau dibawa ke penjara.
Paul didakwa merogol mangsa berusia 23 tahun pada 7 Julai 2019, sekitar jam 8.15 hingga 9.15 malam, di bilik kediamannya di Ipoh.
Kes itu mula dibicarakan di Mahkamah Sesyen pada 2019 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada Disember 2020.
Perbicaraan bermula pada April 2021 dengan 23 saksi pendakwaan, termasuk dua saksi terlindung, tampil memberi keterangan.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi mendapati bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu bersalah dan menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara dan dua sebatan.
Namun, Mahkamah Rayuan pada 1 Mac 2024 mengekalkan sabitan serta sebatan tetapi mengurangkan tempoh penjara kepada lapan tahun.
Paul kemudiannya memfailkan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan pada 5 Mac 2024, tetapi ditolak hari ini.
Dalam prosiding hari ini, Paul diwakili oleh peguam terkenal Datuk Rajpal Singh, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari dan Mohd Fuad Abd Aziz.