Bukan Hanya ‘Ikan Bilis’, ‘Jerung’ Rasuah Pun Tetap Diburu Walau Sudah Pencen

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan memberi tumpuan membanteras kes rasuah besar melibatkan ‘jerung’, namun tidak bermakna kes kecil yang digelar ‘ikan bilis’ diabaikan.

Menurutnya, siasatan terhadap golongan ‘jerung’ lebih mencabar kerana membabitkan rangkaian luas, nilai penyelewengan besar serta keupayaan mereka membeli pengaruh termasuk pemimpin politik dan media.

“Tindakan kita bukan soal dendam, tetapi untuk memastikan berbilion ringgit yang diseleweng dikembalikan kepada rakyat.
“Kalau hanya tangkap kes kecil, tetapi lepaskan yang besar, bukankah itu aneh?” katanya ketika berucap di Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri Kelapan di Institut Integriti Malaysia malam tadi.

Forum bertemakan Integriti dan Kepimpinan Nasional: Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistemik itu turut menampilkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Datuk Ahmad Ramdzan Daud; serta Felo Utama IKMAS UKM, Prof Datuk Dr Abdul Rahman Embong.

Anwar turut menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, termasuk menteri, ketua setiausaha, pengarah, malah bekas penjawat awam jika terbukti terbabit dalam salah laku rasuah.

“Kalau bukan hari ini, esok atau tahun-tahun akan datang. Yang sudah pencen sekalipun, kalau ada bukti curi (rasuah) ketika berkuasa, kita tetap akan cari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menempelak pembangkang yang menuduh siasatan terhadap pemimpin tertentu berpunca daripada sentimen peribadi.

“Segala tindakan dibuat berdasarkan siasatan SPRM, manakala keputusan akhir ditentukan mahkamah. Bukan saya.

“Keputusan saya hanya satu wang rakyat yang dipunggah berbilion ringgit mesti dipulangkan semula,” tegasnya.

Anwar juga tidak menolak langkah memperkukuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) demi memastikan usaha membanteras penyelewengan dapat dibersihkan sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

BBerkaitan

Latest articles