KUALA LUMPUR: Prosiding kes sivil Revenue Group Bhd (RGB) dan anak syarikatnya Revenue Harvest Sdn Bhd (RHSB) di Mahkamah Tinggi hari ini menbangkitkan dakwaan wujud komunikasi sulit antara ahli Jawatankuasa Siasatan syarikat dengan dua tertuduh, Ng Shih Chow (Brian) dan Ng Shih Fang (Dino).
Peguam Datuk Amir Hamzah menyoal sama ada Steven Tan, ahli jawatankuasa terbabit, ada berhubung dengan kedua-dua beradik itu pada 1 Januari 2023, beberapa hari sebelum mesyuarat rasmi dijalankan.
Dakwaan itu, katanya, boleh mencetuskan konflik kepentingan kerana Steven sendiri terlibat menyiasat aduan terhadap tertuduh.
Saksi utama, Ng Chee Siong (Ady Ng), bagaimanapun menafikan mengetahui perkara tersebut dan beberapa kali menjawab “tidak tahu” sehingga diminta oleh hakim agar memberi jawapan yang lebih jelas dan ringkas.
Amir kemudian menuduh Ady mempunyai agenda peribadi untuk menyingkirkan tertuduh daripada syarikat, namun Ady mempertahankan tindakannya kononnya demi kepentingan syarikat.
Menariknya, peguam memaklumkan mereka memiliki rakaman audio serta transkrip dalam bahasa Mandarin yang didakwa membuktikan komunikasi rahsia itu berlaku.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan perbincangan isu tersebut ke minggu depan untuk penelitian bukti.