Beberapa Pemimpin Bersatu Tuntut Wan Saiful Disiasat Gara-Gara Serang Azmin Ali

KUALA LUMPUR: Tekanan semakin hebat dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila beberapa pemimpin lantang mendesak tindakan disiplin segera diambil terhadap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Gesaan itu timbul selepas Wan Saiful secara terbuka menyerang Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan mendakwa bekas menteri itu tidak layak memimpin parti selagi isu rakaman video kontroversi 2019 tidak diselesaikan.

Ketua Bersatu Johor, Datuk Sharuddin Jamal menegaskan, tindakan Wan Saiful mencabar kredibiliti parti dan tidak boleh dibiarkan berlarutan.

“Sebagai parti yang berpegang pada prinsip tertib dan etika, sebarang pelanggaran disiplin atau kenyataan yang mencemar imej parti mesti diambil serius. Jawatankuasa disiplin perlu bertindak segera bagi menjaga keyakinan ahli dan orang ramai,” katanya.

Sharuddin dalam masa sama menegaskan sokongan penuh Johor terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin parti dan Perikatan Nasional (PN).

Nada sama turut disuarakan Ketua Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris yang mahu prosiding dijalankan dengan telus dan mengikut peraturan parti.

“Kelewatan atau kelonggaran hanya akan merosakkan integriti Bersatu di mata ahli dan rakyat. Semua rasa tidak puas hati sepatutnya dibawa ke jawatankuasa disiplin, bukan dihebohkan melalui sidang media,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles