Saifuddin: Jemputan Trump Ke Sidang Kemuncak ASEAN Bukan Isyarat Sokongan Malaysia

KUALA LUMPUR: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan perlu dilihat dalam konteks kepengerusian ASEAN, bukannya dari sudut hubungan dua hala Malaysia semata-mata.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa suara konsensus 10 negara ASEAN di pentas dunia, bukan pandangan peribadi Malaysia.

“Trump hadir bukan atas kapasiti hubungan Malaysia-AS semata-mata. Perdana Menteri datang sebagai ketua kepada sebuah rantau besar berpenduduk 680 juta, dengan ekonomi yang stabil dan dinamik, untuk berdepan dengan pemimpin dunia lain termasuk dari China, India, Rusia dan Brazil,” katanya pada Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Mengulas bantahan pihak tertentu terhadap kehadiran Trump yang diketahui menyokong Israel, Saifuddin berkata, pendekatan berdepan secara matang lebih berkesan daripada menolak kehadiran.

“Kalau kita menolak untuk bertemu, bagaimana pendirian kita mahu disampaikan? Al-Quran sendiri menceritakan bagaimana Nabi Musa diperintah untuk menemui Firaun yang zalim, tetapi tetap berhujah dengan bahasa yang lemah lembut,” jelasnya.

Menurut beliau, interaksi dengan pemimpin dunia bukan bermakna tunduk atau bersahabat, sebaliknya peluang untuk menyampaikan mesej secara terus.

“Kita boleh sebut terus di depan dia, kita kutuk serangan terhadap Gaza, kita bantah dasar menyokong Israel. Itu lebih berkesan daripada hanya melaungkan bantahan dari jauh,” katanya sambil mengingatkan hadis Nabi yang menyebut jihad paling besar ialah berkata benar di hadapan pemerintah zalim.

Saifuddin turut mengingatkan bahawa Trump hanyalah salah seorang daripada ramai pemimpin dunia yang akan hadir ke sidang kemuncak berkenaan.

“Perdana Menteri bukan hanya mewakili Malaysia, tetapi suara ASEAN rantau dengan ekonomi yang sedang berkembang dan penduduk seramai 680 juta orang,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri menegaskan platform Sidang Kemuncak ASEAN akan digunakan untuk menyuarakan pendirian tegas Malaysia mengenai Palestin, termasuk di hadapan Trump.

BBerkaitan

Latest articles