Wan Saiful Dakwa Azmin Ugut Ketua Bahagian – “Tak Tarik Balik SD, Tak Jadi Calon PRU”

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengugut beberapa Ketua Bahagian supaya menarik balik akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha menjatuhkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Wan Saiful, ugutan itu dibuat ketika pertemuan di ibu pejabat Bersatu pada 19 Ogos lalu yang turut disertai Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali dan Ketua Bahagian Puchong, Shukor Mustafa.

“Mereka diugut Azmin bahawa jika tidak tarik balik SD, mereka tidak akan diberi watikah calon untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Sedangkan kedua-dua mereka tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen untuk jatuhkan Presiden, jadi bagaimana mahu tarik balik?” katanya pada sidang media hari ini.

Wan Saiful mendakwa Azmin turut memberi amaran bahawa dirinya juga berisiko tidak dicalonkan jika enggan menurut arahan.

“Perkara ini memberi gambaran seolah-olah kuasa menentukan calon pilihan raya bukan di tangan Presiden, tetapi Azmin,” katanya.

Beliau menambah, ugutan sama turut dikenakan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik agar mengambil tindakan disiplin terhadap Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri, Azrudin Idris.

“Kalau tidak buat, Azmin ugut tiada bantuan akan disalurkan ke Melaka menjelang pilihan raya negeri. Saya sangka Anwar sahaja macam ini, rupanya Azmin pun sama. Anak murid ikut cara cikgu,” sindirnya.

Susulan itu, Wan Saiful berkata beliau akan mengemukakan laporan rasmi kepada Lembaga Disiplin Bersatu mengenai salah laku Azmin.

Turut dikaitkan, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, yang menurutnya kes dilayan begitu cepat oleh lembaga.

“Kes Tun Faisal, laporan 18 September, surat panggilan keluar 21 September, saya dipanggil hadir 25 September.

“Jadi, kalau saya serah laporan hari ini atau esok, saya harap Lembaga Disiplin juga boleh bertindak segera,” katanya.

Terdahulu, pertemuan Wan Saiful dengan Lembaga Disiplin Bersatu berhubung dakwaan pengumpulan SD bagi menjatuhkan Muhyiddin ditangguhkan pada saat akhir.

Selain beliau, tiga lagi pemimpin dipanggil memberi penjelasan iaitu Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali; dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.

Mereka dikaitkan dengan usaha mengumpulkan SD daripada ketua bahagian di seluruh negara kononnya bagi membincangkan transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

BBerkaitan

Latest articles