KUALA LUMPUR: Bayi lelaki berusia setahun yang maut dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu lalu didapati tidak menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (child seat).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata perkara itu dimaklumkan menerusi siasatan awal polis berhubung nahas yang membabitkan sebuah lori muatan lusuh dan empat kenderaan lain.
“Saya tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi ini peringatan penting kepada semua. Ramai yang mengeluh mengenai kos apabila kerajaan mewajibkan penggunaan child seat, namun insiden ini membuktikan betapa pentingnya ciri keselamatan itu.
“Sekiranya bayi tersebut berada dalam child seat, kemungkinan besar dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG), hari ini.
Loke menegaskan child seat terbukti mampu mengurangkan risiko kematian dan kecederaan kanak-kanak dalam kemalangan jalan raya.
“Setiap ciri keselamatan diperkenalkan ada fungsinya. Tragedi ini sekali lagi menunjukkan betapa bahaya mengabaikan penggunaan child seat,” katanya.
Dalam pada itu, Loke turut mengulas mengenai keadaan lori terbabit yang mempunyai permit sah dan rekod pemeriksaan Puspakom masih berkuat kuasa.
Namun, katanya, itu tidak bermakna pengendali boleh mengabaikan penyelenggaraan kenderaan berat.
“Penyelenggaraan mesti dilakukan berterusan, bukan hanya bergantung pada pemeriksaan enam bulan sekali. Kes ini jelas menunjukkan kegagalan brek lori yang merempuh plaza tol hingga menyebabkan kemalangan.
“Malah pemandu lori itu sendiri dilaporkan terpaksa melompat keluar kerana brek tidak berfungsi,” jelasnya.
Beliau menambah, syarikat berkenaan hanya memiliki dua permit dengan dua lori aktif, namun insiden itu wajar dijadikan peringatan keras kepada semua pengusaha pengangkutan supaya memastikan kenderaan sentiasa selamat digunakan.
Menurut Loke, siasatan lanjut termasuk pengesahan teknikal terhadap kegagalan brek diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
“Namun apa yang jelas, bayi tersebut tercampak keluar kerana tiada child seat dan meninggal dunia di lokasi,” katanya.
Dalam tragedi 27 September lalu, seorang bayi maut manakala lapan lagi cedera selepas lori muatan lusuh merempuh empat kenderaan lain di Plaza Tol Bukit Kajang.
Mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berjaya dikeluarkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di tempat kejadian.