Anwar: Kekejaman Israel Bukan Sekadar Isu Politik, Tapi Pelanggaran Hak Asasi Dunia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin perlu terus dikutuk secara konsisten dan tidak boleh dianggap sekadar laungan politik semata-mata.

Menurut beliau, kekejaman zionis itu merupakan pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan memberi kesan langsung terhadap keselamatan sosial global.

“Tindakan kejam mereka menjejaskan hak asasi yang tidak dapat dipisahkan dengan keselamatan, maruah serta akses kepada perkhidmatan penting.

“Dalam menangani keselamatan sosial di skala global, kita tidak boleh berdiam diri terhadap ketidakadilan sistemik ini,” katanya ketika berucap di Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Anwar turut menyanjung keberanian aktivis kemanusiaan yang menyertai flotila ke Gaza, termasuk dari Malaysia, sebagai simbol penentangan terhadap penindasan dan tanda solidariti antarabangsa buat penduduk Gaza.

“Penglibatan mereka menekankan kepentingan global secara kolektif dalam mencabar keganasan dan memperjuangkan hak rakyat Palestin,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong serta Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Perdana Menteri menegaskan, pendirian Malaysia yang konsisten mengecam penjajahan Israel adalah bukti komitmen terhadap prinsip keadilan sejagat.

Katanya lagi, kecaman tersebut melangkaui sempadan negara dengan menegaskan kepentingan solidariti dalam gerakan sosial global.

“Wacana mengenai keselamatan sosial dunia tidak boleh mengabaikan realiti kezaliman ini, sebaliknya mesti mengintegrasikan isu Palestin sebagai sebahagian daripada perjuangan menegakkan hak asasi manusia,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles