Malaysia Bakal Jadi Negara Menua Menjelang 2030 – Anwar

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka berdepan realiti masyarakat menua menjelang 2030 apabila satu daripada tujuh rakyat negara ini bakal melepasi usia 60 tahun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, perubahan demografi itu akan memberi kesan mendalam terhadap bentuk masyarakat dan gaya hidup, justeru kerajaan komited memastikan warga emas terus menyumbang kepada pembangunan negara.

“Warga emas membawa kebijaksanaan dan pengalaman. Tugas kerajaan ialah menyediakan penjagaan yang diperlukan agar sumbangan mereka berterusan.

“Kerajaan juga sedang mengukuhkan rangka kerja undang-undang. Sebagai contoh, tidak lama lagi akan diperkenalkan Bukan Skim Kecederaan Pekerjaan untuk melindungi pekerja bukan sahaja ketika bekerja, tetapi juga di luar waktu pejabat,” katanya ketika merasmikan Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Anwar menegaskan, cabaran keselamatan sosial tidak boleh ditanggung sesebuah kerajaan secara bersendirian kerana wujud jurang besar antara negara kaya dan miskin.

“Negara maju banyak melabur dalam perlindungan sosial, manakala negara miskin masih berjuang menyediakan asas kehidupan.

“Tekanan kini datang daripada perubahan iklim, gangguan teknologi dan anjakan migrasi. Jika modal boleh merentasi benua untuk keuntungan, maka perpaduan juga mesti merentasi sempadan atas nama keadilan,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa keselamatan sosial dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem global yang lebih kukuh, termasuk melalui dana kesihatan dan iklim, cukai rentas sempadan yang lebih adil serta perkongsian kepakaran dan teknologi agar tiada negara yang tertinggal.

WSSF 2025 yang dianjurkan ISSA dengan kerjasama PERKESO dan KWSP menghimpunkan lebih 1,500 perwakilan dari 150 negara, termasuk menteri, pakar teknikal, ketua pegawai eksekutif dan wakil organisasi antarabangsa.

Bertemakan “Membentuk Keselamatan Sosial untuk Dunia dalam Peralihan”, forum dwitahunan itu membincangkan peluang dan cabaran susulan perubahan demografi global, dinamik pasaran buruh dan kemajuan teknologi.

Antara tokoh ternama yang hadir ialah Ketua Global Bank Dunia dalam bidang Penuaan dan Pencen, Fiona Elizabeth Stewart serta Pengarah Perlindungan Sosial Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Razavi Shahrashoub.

Delegasi dari AS, China, Jerman, Sepanyol, Brazil, Iceland, Switzerland, Oman, Cameroon, Türkiye, India dan Uruguay turut menyertai forum tersebut.

BBerkaitan

Latest articles