Malaysia Desak PBB Kenakan Sekatan Terhadap Israel, Kekejaman Zionis Ancam Dunia

NEW YORK: Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak lebih tegas dengan mengenakan sekatan terhadap Israel, sambil memberi amaran bahawa kekejaman rejim Zionis di Timur Tengah semakin merebak dan tidak boleh dibiarkan berterusan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menyampaikan kenyataan negara pada Perbahasan Umum Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) 2025, menegaskan bahawa serangan Israel di Doha, Qatar baru-baru ini bukan sekadar menyasarkan wakil Hamas, sebaliknya mencabul kedaulatan sebuah negara berdaulat serta menghina usaha pengantaraan antarabangsa.

“Kekejaman ini mungkin bermula dengan Palestin, tetapi ia tidak akan berakhir di Palestin. Keganasan Israel akan terus menggugat kestabilan rantau ini dan kesannya pasti merebak ke seluruh dunia.

“Inilah sebabnya mengapa sekadar menyokong penyelesaian dua negara tidak lagi mencukupi,” katanya di New York, semalam.

Mohamad menegaskan, Malaysia kekal komited menyokong rakyat Palestin melalui pelbagai langkah termasuk menerusi Deklarasi New York.

Beliau menekankan bahawa tindakan konkrit perlu diambil terhadap kuasa pendudukan, selain sokongan jangka panjang bagi membina sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat.

“Ujian yang kita hadapi kini adalah ujian kewujudan. Jika selepas 80 tahun PBB wujud dan 77 tahun penindasan Palestin masih tidak dapat diselesaikan, rakyat dunia akan hilang keyakinan terhadap kita dan terhadap sistem antarabangsa,” katanya.

Dalam ucapannya, Mohamad turut menggesa PBB segera melaksanakan reformasi bagi memastikan badan dunia itu kekal relevan dalam menangani cabaran global.

Antara reformasi mendesak yang dibangkitkan Malaysia termasuk menghadkan atau menghapuskan kuasa veto, khususnya dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan, mengembalikan kuasa kepada Perhimpunan Agung sebagai badan paling inklusif yang menjadi suara kolektif dunia dan merela reka bentuk semula mekanisme pembiayaan global untuk menjamin ketelusan dan keadilan bagi negara-negara Selatan Global.

“Kita mesti mencabar kuasa veto yang berulang kali melumpuhkan Majlis Keselamatan. Tidak lagi kita harus berdiam diri menerima penolakan terhadap suara kolektif kita,” tegasnya.

Sejak 7 Oktober 2023, serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza telah meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Serangan itu turut memusnahkan wilayah berkenaan serta menyebabkan kebuluran berleluasa.

Mohamad menegaskan, PBB mesti kembali berfungsi sebagai penjaga keamanan dunia dan tidak boleh terus membiarkan keganasan Israel melemahkan kredibiliti sistem antarabangsa.

BBerkaitan

Latest articles