SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, semalam, atas tiga pertuduhan merogol cucu kandungnya yang ketika itu berusia 10 tahun, dalam kejadian yang berlaku antara tahun 2020 hingga 2021.
Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan pertama didakwa berlaku pada 22 Jun hingga 29 Julai 2020, antara jam 2.30 hingga 3 petang, di sebuah rumah kedai di Putra Point, Bandar Baru Nilai.
Dua lagi pertuduhan melibatkan kejadian di sebuah rumah di Taman Desa Cempaka, Nilai, antara November 2020 hingga Januari 2021, sekitar jam 7 malam hingga 10 malam.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sekurang-kurangnya 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan, memandangkan tertuduh merupakan datuk kandung mangsa.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan jumlah jaminan keseluruhan sebanyak RM90,000 dengan syarat tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran, tidak mengganggu mangsa atau saksi, serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Permohonan anak tertuduh untuk menjadi penjamin ditolak kerana dia tersenarai sebagai salah seorang saksi pendakwaan.
Kes ini ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Oktober depan bagi serahan dokumen dan pelantikan peguam bela.