KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun bank luar negara termasuk di Israel adalah tidak berasas dan telah lama disiasat.
Dalam kenyataan hari ini, SPRM menjelaskan siasatan terhadap tuduhan tersebut sebenarnya telah dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1999, dan hasilnya mendapati tiada sebarang bukti yang boleh mengaitkan Anwar dengan salah guna kuasa atau rasuah.
“Kes ini selesai sejak 2022 lagi. Malah, penjelasan mengenai keputusan siasatan turut disahkan dalam akuan bersumpah oleh mantan Pengarah Siasatan BPR, Datuk Abdul Razak Idris pada tahun 2009,” kata kenyataan itu.
Dakwaan berhubung akaun luar negara Anwar pernah dibangkitkan dalam sidang Parlimen pada 2013, namun sehingga kini ia terus dijadikan bahan tular semula di media sosial termasuk TikTok.
SPRM turut memaklumkan bahawa pihak WikiLeaks sendiri telah menafikan pernah mengeluarkan sebarang senarai akaun bank milik Anwar seperti didakwa ketika itu.
“Penyebaran maklumat tidak sahih sebegini hanya akan mengelirukan masyarakat dan menjejaskan ketenteraman awam. SPRM kekal komited menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berintegriti selaras dengan undang-undang negara,” jelas kenyataan berkenaan.