KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima taklimat berhubung beberapa isu semasa termasuk pelaksanaan Inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) dan persiapan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bakal berlangsung bulan depan.
Taklimat itu dipersembahkan selepas Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
“Pertemuan YAB Perdana Menteri bersama Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur hari ini,” menurut hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Isnin lalu, Anwar mengumumkan harga baharu petrol RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sekarang, bermula 30 September ini.
Inisiatif itu ditawarkan kepada semua rakyat tempatan tanpa mengira tahap pendapatan.
Melalui BUDI95, pengguna hanya perlu memasukkan MyKad pada alat pembaca di pam minyak untuk pengesahan kelayakan sebelum membuat bayaran.
Rakyat Malaysia boleh membuat semakan kelayakan bermula jam 9 pagi hari ini melalui portal rasmi www.budimadani.gov.my.
Semakan dilakukan secara automatik menggunakan nombor kad pengenalan tanpa perlu pendaftaran baharu, selain memaparkan profil kelayakan serta baki penggunaan subsidi bulanan.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pula dijangka menjadi tumpuan utama Malaysia sebagai tuan rumah dengan pelbagai isu serantau dan global akan dibincangkan.