KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-hailing berusia 42 tahun ditahan polis selepas tular rakaman video memaparkan sebuah kereta Perodua Bezza hampir melanggar seorang wanita di lintasan pejalan kaki berhampiran Dataran Merdeka.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Hishamudin menuju ke Jalan Raja dari arah Jalan Kinabalu.
“Siasatan mendapati pemandu berkenaan telah melanggar lampu isyarat merah sebelum hampir merempuh seorang pejalan kaki yang sedang melintas,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut beliau, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur segera bertindak selepas menerima maklumat daripada video tular berkenaan.
Tangkapan dilakukan pada jam 8.15 pagi semalam dan pemandu terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Video papan pemuka yang tular sejak semalam menunjukkan Bezza itu dipandu laju sebelum membrek secara mengejut setelah menyedari seorang wanita sedang melintas di laluan pejalan kaki.
Wanita berkenaan sempat mengelak dan kelihatan terkejut dengan kejadian yang hampir meragut nyawanya.
Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas, khususnya lampu isyarat, bagi mengelakkan kejadian seumpama itu yang boleh mengancam keselamatan pejalan kaki.