KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang baru seminggu ditempatkan di agensi itu ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan tersebut amat mengejutkan kerana pegawai berkenaan baru melapor diri di SPRM melalui penempatan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Saya sahkan bahawa TPR ini baru sahaja melapor diri, tidak silap saya minggu lepas. Ia satu perkara yang langsung tidak dijangka,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Menurut Azam, kes tersebut kini sepenuhnya di bawah siasatan polis, manakala SPRM menyerahkan urusan lanjut kepada pihak berkuasa berkenaan.
“Saya juga sudah berbincang dengan Peguam Negara. Beliau pegawai AGC, jadi biar polis jalankan siasatan. Jika ada kes, polis boleh bawa ke mahkamah,” jelasnya.
Ditanya mengenai tapisan sebelum penempatan pegawai itu ke SPRM, Azam menjelaskan ia bukan bidang kuasa suruhanjaya.
“Beliau berkhidmat di AGC, jadi saya jangka sudah melalui segala proses tapisan dan saringan, termasuk ujian dadah seperti penjawat awam lain. Pada saya, ini tindakan individu itu sendiri sekiranya benar terlibat,” katanya.
Mengenai kemungkinan penggantungan tugas, Azam berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Peguam Negara kerana pegawai tersebut masih di bawah AGC.
“Biasanya, pegawai berdepan kes sebegini akan direhatkan daripada menjalankan pendakwaan terlebih dahulu,” tambahnya.
Semalam, media melaporkan polis menahan TPR terbabit di kediamannya sebelum menemui bahan disyaki dadah. SPRM dalam kenyataan ringkas turut mengesahkan perkara itu.