Rafizi Dakwa BUDI95 Buka Ruang Ketirisan, Subsidi Masih Tak Tepati Sasaran

KUALA LUMPUR: Mekanisme subsidi petrol bersasar melalui Budi Madani RON95 (BUDI95) didakwa masih jauh daripada matlamat asal untuk mengagihkan bantuan secara lebih adil kepada rakyat.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berpandangan pelaksanaan itu membuka peluang ketirisan baharu kerana kuota 300 liter pada harga RM1.99 seliter yang ditetapkan kepada setiap pemegang lesen memandu boleh dimanipulasi.

Beliau memberi contoh, pengguna yang tidak menghabiskan kuota mereka boleh membeli petrol bersubsidi lalu menjualnya semula pada harga lebih tinggi.

Manakala, golongan seperti pemandu e-hailing yang menikmati kemudahan tanpa had pula berisiko menggunakan kelebihan tersebut untuk tujuan penjualan di pasaran gelap.

“Mekanisme ini tidak benar-benar menyasar subsidi. Sebaliknya ia hanya mengehadkan jumlah yang boleh dibeli setiap bulan,” jelasnya dalam satu rakaman video di Facebook, hari ini.

Rafizi menegaskan, pengagihan subsidi berkemungkinan lebih memihak kepada golongan berada kerana isi rumah T20 biasanya memiliki lebih banyak kenderaan serta lesen memandu berbanding kelompok berpendapatan rendah.

“Akibatnya, jumlah subsidi yang dinikmati oleh mereka yang kaya akan lebih besar berbanding B40,” tambahnya.

Beliau juga menjangkakan kerajaan masih perlu menanggung perbelanjaan subsidi sekitar RM10 bilion hingga RM15 bilion setahun bagi tempoh 2025 dan 2026, biarpun dengan pelaksanaan BUDI95.

Dalam masa sama, had kuota 300 liter dijangka memberi kesan kepada pasangan yang tinggal di bandar kerana penggunaan petrol mereka melebihi jumlah tersebut untuk berulang-alik ke tempat kerja.

“Keputusan telah pun dibuat. Apa yang tinggal hanyalah menunggu enam hingga 12 bulan lagi untuk melihat kesan sebenar terhadap kedudukan fiskal negara, keberkesanan penyasaran serta tahap ketirisan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles