Buli Tidak Boleh Dikompromi, Tiada Alasan Bergurau

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pihak polis segera mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan pelajar yang terlibat dalam kejadian kekerasan fizikal sehingga tular di media sosial.

Beliau menegaskan, semua pelaku perlu dihadapkan ke muka pengadilan agar kejadian itu menjadi pengajaran penting kepada orang lain.

“Perbuatan sebegini tidak boleh dikompromi, biarpun dengan alasan hanya sekadar gurauan. Apakah kita mahu menunggu hingga wujud kecederaan kekal atau kematian barulah tindakan diambil?” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Asyraf turut memuat naik video yang memaparkan beberapa pelajar mengangkat seorang rakan mereka sebelum menghayunkan tubuh mangsa hingga terhentak pada tiang besi papan tanda.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan semalam mengesahkan insiden tersebut berlaku di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Sarawak, pada 19 September lalu sekitar jam 4.30 petang.

Menurut KBS, laporan hanya diterima pada hari insiden itu mula tular.

Pihak kementerian menegaskan pelaku akan dikenakan tindakan tegas termasuk digantung atau dibuang daripada institut.

“Tiada ruang untuk keganasan fizikal di mana-mana institut, sama ada atas alasan bergurau atau sebaliknya,” tegas kenyataan itu.

BBerkaitan

Latest articles