Anwar Doakan Kejayaan Global Sumud Flotilla, Sinar Harapan Buat Gaza

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan doa buat pasukan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini sedang berlayar di perairan antarabangsa berhampiran Greece sebelum meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Anwar menzahirkan harapan agar perjalanan GSF berjalan lancar serta menjadi simbol kesatuan hati nurani dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin.

“Doa tulus daripada seluruh masyarakat mengiringi misi pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla. Semoga usaha ini menjadi sinar harapan buat rakyat Gaza yang sedang diuji dan menjadi saksi kepada kesatuan nurani kemanusiaan sejagat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan GSF kini memasuki fasa paling kritikal yang disifatkan sebagai detik penentu gerakan itu dalam tempoh seminggu ini.

Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, yang menaiki kapal ALMA, memaklumkan flotilla sedang menuju ke kawasan perairan Greece untuk bergabung dengan kapal-kapal lain yang turut serta dalam misi berkenaan.

Menurutnya, kapal tersebut dijangka tiba di lokasi berkenaan dalam tempoh dua hari sebelum meneruskan pelayaran ke Gaza.

GSF membawa mesej solidariti antarabangsa selain menghantar bantuan kemanusiaan berupa makanan dan ubat-ubatan untuk rakyat Palestin yang terkesan akibat kepungan berpanjangan di Gaza.

BBerkaitan

Latest articles