Polis Kelantan Cadang Undang-undang Rogol Bawah Umur Diperhalusi Semula

KOTA BHARU: Polis Kelantan mencadangkan supaya undang-undang berkaitan kesalahan hubungan seks bawah umur diteliti semula, khususnya kes membabitkan suka sama suka, agar tindakan undang-undang tidak hanya terhad kepada lelaki.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, berdasarkan statistik, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri itu berlaku atas dasar suka sama suka dan bukannya paksaan.

“Ketika ini, undang-undang sedia ada menyebabkan hanya lelaki didakwa walaupun siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan secara rela kedua-dua pihak. Saya berpandangan sudah sampai masanya mekanisme perundangan diperhalusi semula agar hukuman turut dikenakan kepada pihak perempuan yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Menurutnya, walaupun terdapat pengakuan bahawa hubungan itu berlaku secara suka sama suka, polis tetap perlu membuka kertas siasatan dan mendakwa lelaki mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atau Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dalam masa sama, Mohd Yusoff menegaskan bahawa pencegahan memerlukan penglibatan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, guru dan institusi agama seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).

“Satu mekanisme pencegahan yang lebih menyeluruh akan dibincangkan bersama agensi berkaitan bagi memastikan isu ini dapat ditangani secara efektif dari segi pendidikan, pemantauan serta perundangan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles