PARIT: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan maut selepas dipercayai ditindih ibunya ketika tidur di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua dalam satu kejadian Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 18 September kira-kira jam 8.45 pagi.
Beliau memaklumkan, bayi warganegara Indonesia itu disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
“Hasil pemeriksaan mendapati punca kematian adalah akibat otak membengkak dan paru-paru sembab selepas gagal bernafas kerana ditindih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hafezul, siasatan lanjut mendapati ketika kejadian, mangsa tidur bersama ibunya yang berusia 36 tahun sebelum insiden tragis itu berlaku.
“Suspek yang juga ibu mangsa telah ditahan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001. Kertas siasatan turut dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Wanita berkenaan akan dituduh di Mahkamah Majistret Parit pada Isnin depan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai,” jelasnya.