KUALA LUMPUR: Bersatu menegaskan keputusan menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya berpaksikan tiga faktor utama: merit, kepimpinan teruji dan hasil kajian dalaman.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata pengalaman luas serta peranan Muhyiddin ketika negara berdepan krisis pandemik Covid-19 membuktikan beliau mempunyai keupayaan memimpin negara.
“Kepimpinan beliau sudah terbukti, terutama ketika mengemudi negara sewaktu pandemik,” katanya memetik FMT.
Menurutnya, kajian badan pemikir parti, Institut Masa Hadapan Malaysia, turut menjadi asas kukuh kepada keputusan itu. Muhyiddin secara rasmi diumumkan sebagai calon perdana menteri Bersatu pada mesyuarat agung tahunan parti awal bulan ini.
Mengulas laporan kononnya Bersatu menolak cadangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menyarankan calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN) seharusnya berusia bawah 70 tahun, Tun Faisal menafikan perkara itu.
Katanya, laporan Malaysiakini yang dipetik daripada satu episod audio siar telah disalah tafsir.
“Perlu dengar keseluruhan episod itu. Tidak timbul isu menolak pandangan PAS. Semua pandangan akan dibincang dan diputuskan secara konsensus di peringkat PN,” jelasnya.
Kenyataan Hadi sebelum ini dilihat seakan-akan menolak Muhyiddin yang kini berusia 78 tahun.
Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin (68 tahun), pula sering disebut-sebut sebagai calon alternatif bagi PN.
Pada muktamar hujung minggu lalu, PAS turut membawa usul agar parti itu diberi ruang memimpin PN dan menampilkan calon perdana menteri daripada PAS sendiri.