Tragedi Berkhemah: Wanita Maut, Kanak-Kanak Cedera Dihempap Pokok Tumbang

BENTONG: Perkhemahan yang sepatutnya menjadi detik indah bertukar tragedi apabila seorang wanita maut, manakala seorang lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas khemah mereka di Pulau Santap, Janda Baik, dihempap pokok tumbang pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.56 pagi sebelum 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, bomba mendapati sebuah khemah dihempap pokok setinggi kira-kira 15 meter. Pasukan bertindak memotong batang pokok sebelum menemukan tiga mangsa di dalam khemah tersebut.

“Seorang wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti.

Mayat mangsa wanita diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala dua lagi mangsa cedera dihantar ke Hospital Bentong bagi mendapatkan rawatan.

BBerkaitan

Latest articles