KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa seorang pelajar dirujuk sebagai A, antara lima yang didakwa berhubung kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir, telah mengambil cuti sakit lebih dua minggu selepas insiden malang menimpa remaja itu pada 16 Julai lepas.
Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar iaitu Azhari Abd Sagap, 31, berkata, ibu pelajar A telah menghantar dua sijil cuti sakit daripada klinik kesihatan dengan tarikh berasingan kepada beliau menerusi aplikasi WhatsApp untuk memaklumkan perkara itu.
Saksi kelapan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina itu berkata, sijil cuti sakit pertama bermula 28 Julai hingga 4 Ogos telah dihantar pada 28 Julai manakala sijil cuti sakit kedua bermula 8 hingga 18 Ogos dihantar pada 7 Ogos.
“Pada 11 Ogos, ibu pelajar A menghantar pesanan WhatsApp memaklumkan minggu itu beliau akan datang ke sekolah untuk mengambil semua barang-barang pelajar A dan berterima kasih kerana (warden) sudi menengok-nengok (memantau) anaknya sepanjang bersekolah di sini,” katanya.
Azhari membuka aplikasi WhatsApp di telefonnya dan membacakan mesej yang diterima daripada ibu pelajar A ketika menjawab soalan peguam Joan Goh, yang mewakili pelajar A yang didakwa dalam kes buli Zara Qairina, pada hari ke-10 prosiding inkues.
Azhari berkata, beliau tahu bahawa pelajar A ada melihat Zara Qairina diletakkan di tepi rumah warden iaitu laluan antara bangunan Blok A ke Blok B sebelum ambulans tiba di asrama berkenaan.
Ketika disoal adakah dia tahu pelajar A telah keluar dari sekolah kerana berasa trauma, beliau berkata: “Tidak. Dia juga tidak menunjukkan dia trauma.”
Beliau berkata, pengawal keselamatan asrama Linah Mansoding @ Jaliha ada mengambil gambar pelajar A serta seorang lagi rakannya, dengan pelajar A menunjukkan tanda ‘peace’ dan gambar tersebut diambil ketika kedua-duanya diminta datang ke sekolah itu untuk diambil keterangan.
Goh: Gambar saja boleh tunjuk tidak trauma?
Azhari: Ya. Dia siap ‘peace’ lagi gambar yang pengawal keselamatan ambil.
Semalam, Azhari memberitahu mahkamah bahawa pelajar A telah berpindah sekolah beberapa minggu selepas insiden Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di asramanya pada 16 Julai lepas, namun tidak mengetahui alasan permindahan tersebut.
Dalam prosiding hari ini, Azhari berkata, ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat ada menceritakan kepada beliau bahawa pelajar A merupakan kawan baik anaknya itu dan mengetahui semua berkaitan Zara Qairina.
Menurut Azhari, pelajar A ada mengikut Zara Qairina balik ke rumahnya di Sipitang pada 12 Julai selepas program gotong-royong PIBG sekolah.
“Itu yang saya tahu. Mungkin itu yang ibu Zara Qairina anggap pelajar A ini kawan baik Zara Qairina, yang kenal Zara Qairina,” katanya.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung Isnin.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, pada 17 Julai lepas. Pelajar itu ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis manakala sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama