Polis Cadang Dakwa 8 Individu Berhubung Kekecohan Di Kampung Sungai Baru

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur mengesahkan kertas siasatan insiden kekecohan ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru pada 11 September lalu, yang menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi cedera di kepala akibat dibaling objek, akan diserahkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) petang ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya turut mencadangkan pertuduhan terhadap kesemua lapan individu yang ditahan berhubung insiden berkenaan.

“Kertas siasatan itu dikembalikan dengan beberapa arahan tambahan dan akan dirujuk kembali kepada TPR jam 3.30 petang ini. Kita juga akan mencadangkan pertuduhan bagi semua individu terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian itu, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala selepas terkena objek dipercayai batu. Polis kemudian menahan tujuh individu dipercayai ahli sebuah NGO, termasuk ketuanya, selain Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam), Seksyen 353 (kekerasan jenayah terhadap penjawat awam) dan Seksyen 324 (mencederakan dengan senjata atau objek berbahaya).

Setakat ini, seramai 67 individu sudah dipanggil memberi keterangan, termasuk 52 saksi polis, empat pengadu, tiga pegawai mahkamah, dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dua pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), seorang peguam, wakil penduduk, pengarah syarikat serta seorang wanita yang juga penjaga kepada salah seorang ditahan.

Operasi pengosongan Kampung Sungai Baru diketuai bailif mahkamah bersama agensi penguatkuasaan lain susulan arahan perobohan struktur rumah di kawasan itu.

Pembangunan semula kawasan berkenaan bermula sejak 2016, melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri.

BBerkaitan

Latest articles