KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru sengaja dipolitikkan pihak luar hingga menimbulkan kekecohan baru-baru ini.
Beliau menolak dakwaan kononnya tidak peduli nasib penduduk ketika operasi perobohan dijalankan, sebaliknya menjelaskan ketidakhadirannya di lokasi kerana dinasihatkan pihak polis.
“Saya dinasihatkan oleh polis untuk tidak pergi kerana keadaan ketika itu terlalu tegang. Saya tak tahu macam mana 14 rumah yang belum pindah boleh jadi seolah-olah seluruh kawasan dengan 328 orang sedang berperang dengan FRU.
“Saya bersyukur tak pergi sebab mungkin batu yang kena Ketua Polis Daerah itu boleh kena saya. Orang luar yang datang pun sebenarnya tiada kaitan dengan rumah di situ, jelas sekali ada elemen politik,” katanya menerusi Podcast Buletin Utama.
Johari berkata, pihak luar yang tidak memahami isu sebenar telah memanaskan keadaan sehingga menjejaskan proses yang sepatutnya boleh berjalan lebih teratur.
Bagaimanapun, beliau mengakui pemaju turut bersalah kerana mengambil kesempatan terhadap kelemahan kefahaman penduduk yang majoritinya daripada golongan B40.
“Saya kesal kerana keadaan sampai tahap Ketua Polis Daerah pun dibaling batu. Ia sepatutnya tidak berlaku,” katanya lagi.
Johari sebelum ini pernah memberi penjelasan terperinci mengenai isu Kampung Sungai Baru dalam podcastnya pada April lalu, yang menurutnya membantu orang ramai memahami gambaran sebenar di sebalik kontroversi tersebut.