Op Rentas: Ibu,Anak Antara 8 Pegawai Ditahan SPRM, Aset Mewah Bernilai Jutaan Ringgit Disita

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan lapan pegawai agensi penguat kuasa, termasuk pasangan ibu dan anak, menerusi operasi khas Op Rentas yang dijalankan serentak di empat negeri sejak Selasa lalu.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan pihaknya menyita pelbagai aset mewah, termasuk wang tunai hampir RM100,000, barangan kemas bernilai lebih RM250,000, kenderaan serta motosikal dengan nilai keseluruhan mencecah ratusan ribu ringgit.

“Daripada dua pegawai terbabit, SPRM merampas wang tunai kira-kira RM80,000, barangan kemas bernilai RM50,000, peralatan telekomunikasi bernilai RM20,000, dua kereta berjumlah RM106,000 serta dua motosikal bernilai RM20,000,” jelas kenyataan itu.

Enam suspek lain, terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita, turut ditahan.

Rampasan ke atas kumpulan itu melibatkan wang tunai RM12,000, mata wang asing USD5,000 dan 2,360 baht, barangan kemas bernilai kira-kira RM200,000 serta peralatan telekomunikasi bernilai RM29,000.

Selain itu, SPRM turut membekukan akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik suspek dengan jumlah hampir RM1 juta.

Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin berkata, semua suspek dipercayai bersekongkol dengan sindiket “counter setting” dan menerima rasuah bagi meloloskan urusan kemasukan warga asing ke Malaysia tanpa mengikut prosedur sah.

Beliau menegaskan, siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh bagi membongkar keseluruhan rangkaian sindiket serta mengesan pihak lain yang mungkin terlibat.

BBerkaitan

Latest articles