AMPANG: Suasana meriah mewarnai Ampang hari ini apabila lebih 500 penunggang motosikal mengibarkan Jalur Gemilang dalam konvoi sempena sambutan Hari Malaysia menerusi program Ampang Santai Ride.
Konvoi berwarna-warni itu menampilkan pelbagai model motosikal ikonik, terutama jenis dua lejang seperti Yamaha RXZ, Yamaha 125, Suzuki RG, Suzuki RR dan Yamaha SS110.
Peserta berarak dari Laman Rekreasi Tasek Tambahan melalui tujuh laluan utama sekitar Ampang, meliputi perjalanan sejauh 10 kilometer.
Presiden Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia (PUMMA), Datuk Hasry Sham Chasmen berkata, konvoi tersebut dirancang sejak sebulan lalu dengan tujuan menyemai semangat cintakan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat setempat.
“Matlamat kami adalah memperingati Hari Malaysia sambil menzahirkan rasa patriotik. Apa yang lebih penting, konvoi ini menunjukkan rakyat pelbagai kaum boleh bergabung atas nama negara tanpa sebarang perpecahan,” katanya ketika ditemui.
Majlis pelepasan konvoi disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet.
Hasry Sham menambah, sambutan hangat daripada peserta dan penduduk menunjukkan program julung kali itu berpotensi dijadikan acara tahunan.
“Ramai yang berharap ia dianjurkan lagi tahun depan kerana mampu menyatukan komuniti setempat dalam suasana penuh harmoni,” ujarnya.