GERIK: Suasana di sekitar Sungai Air Kala, Selat Pagar petang semalam gempar apabila mayat seorang bayi ditemui terdampar di persisiran sungai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan tersebut sekitar jam 2.15 petang.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik dikerahkan ke lokasi kejadian dan menemui mayat bayi tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, siasatan awal belum dapat mengenal pasti jantina dan bangsa bayi berkenaan memandangkan keadaan fizikal mayat.
Mayat tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat.
Polis kini menyiasat kes di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis terdekat.