KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka siasatan terhadap empat laporan ugutan melibatkan penyebaran video lucah palsu berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menyasarkan beberapa ahli politik negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk M. Kumar, berkata laporan diterima daripada Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Senator Datuk Nelson W. Agang; ADUN Kulim, Wong Chia Zhen; dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“PDRM turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menjejak pemilik emel serta mengumpul maklumat berkaitan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Difahamkan, ugutan itu dihantar melalui e-mel yang masuk ke telefon bimbit serta komputer riba mangsa.
Setiap e-mel berkenaan mengandungi gambar lucah lelaki berbogel yang disunting secara palsu, selain kod QR untuk pembayaran wang tebusan sebanyak USDT100,000 (kira-kira RM470,000).
Ahli politik terbabit diminta membuat bayaran bagi mengelakkan penyebaran video fitnah berkenaan ke khalayak umum.
Kes ini muncul selepas beberapa pemimpin lain, termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, sebelum ini turut mengesahkan menerima ugutan sama.
Menurut Kumar, siasatan menyeluruh sedang dilakukan bagi mengesan dalang di sebalik sindiket yang menyalahgunakan teknologi AI untuk tujuan jenayah siber.
“PDRM komited memastikan penjenayah ini dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.