Teman Wanita Kepada Bapa Dua Kanak-kanak Lemas Dibebaskan

SEREMBAN: Teman wanita kepada bapa kanak-kanak yang lemas dalam tragedi di muara Sungai Linggi, Tanjung Agas Port Dickson telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata wanita berusia 41 tahun itu dilepaskan namun akan dipanggil semula sebagai saksi.

“Teman wanita kepada suspek (bapa dua kanak-kanak) ini telah dibenarkan diberi bon ikat jamin. Dia dibebaskan dengan bon. Kita akan jadikan dia sebagai saksi semasa pendakwaan nanti,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban hari ini.

Sementara itu, media hari ini melaporkan bapa kepada kanak-kanak terbabit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini bagi pertuduhan menyebabkan kematian terhadap dua anaknya pada 4 Sept lepas.

Media sebelum ini melaporkan tertuduh berusia 46 tahun dan wanita itu direman berhubung kematian dua kanak-kanak yang berumur enam dan lapan tahun.

Dalam kejadian itu, dua beradik lelaki dan perempuan lemas apabila terperangkap di dalam kereta yang menggelongsor ke dalam Sungai Tanjung Agas Linggi, bagaimanapun bapa mereka terselamat kerana berada di luar kereta manakala seorang wanita yang turut berada di dalam kenderaan itu berjaya diselamatkan orang awam.

BBerkaitan

Latest articles