KUALA LUMPUR: Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman, cedera di muka ketika mengawal kekecohan dalam operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, hari ini.
Insiden berlaku selepas sekumpulan penduduk merempuh kawasan operasi bagi mendesak masuk ke perumahan yang terlibat dengan tindakan perobohan. Suzilme dilihat mengalami luka berdarah sebelum menerima rawatan.
Operasi pengosongan itu diketuai bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan susulan perintah mahkamah untuk merobohkan struktur rumah lama di kawasan terbabit.
Sejak malam tadi, puluhan penduduk dilaporkan berkumpul bagi menyatakan solidariti kepada jiran yang terkesan dengan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan kondominium dan pembangunan komersial di lokasi strategik berhampiran KLCC, namun sebahagian penduduk membantah kerana tidak berpuas hati dengan tawaran pampasan dan penempatan semula.