Lelaki Bujang, Ibu Tunggal Dicekup Khalwat Di Pondok Kecil

KULIM: Rahsia pertemuan sepasang kekasih yang menjadikan sebuah pondok kecil di belakang rumah di sebuah Felda sebagai ‘markas cinta’ akhirnya terbongkar selepas diserbu penguat kuasa agama kira-kira jam 1.20 pagi, Rabu lalu.

Serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa agama daerah Kulim dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun bersama pasangannya, seorang ibu tunggal berusia 45 tahun yang mempunyai dua anak.

Ketua operasi, Anwar Sharifudin Mat Saad, berkata ketika ditahan wanita tersebut hanya berselimut tanpa pakaian, manakala lelaki berkenaan sekadar berseluar panjang.

“Hasil siasatan awal mendapati wanita itu menjual kuih di Sungai Petani dan pulang ke Felda berkenaan untuk bertemu keluarga, namun secara rahsia bermalam di pondok lelaki terbabit tanpa pengetahuan ibu bapanya.

“Dia juga mengakui sudah setahun bercerai dan mengenali pasangannya selepas itu,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Anwar, lelaki berstatus bujang itu bekerja di ladang kelapa sawit dan tinggal bersama kakaknya di kawasan Felda sama.

Serbuan di pondok berukuran 1.5 x 3 meter itu dilakukan selepas hampir lapan minit diketuk sebelum pintu dibuka.

Ketika itu, wanita berkenaan sedang berbaring di atas katil berselimut manakala lelaki tersebut tidak berbaju.

“Siasatan lanjut mendapati hubungan mereka tidak direstui keluarga. Malah, anak-anak wanita itu mahu ibunya kembali bersama bekas suami, justeru pasangan ini memilih untuk bertemu secara rahsia di pondok berkenaan,” jelasnya.

Kedua-duanya kini disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.

BBerkaitan

Latest articles