Ancaman Keselamatan: Terminal LNG Bintulu Diarah Perketat Kawalan Serta-Merta

KUALA LUMPUR: Semua kawasan dan kemudahan pelabuhan di Bintulu, Sarawak kini berada dalam kawalan keselamatan yang lebih ketat selepas Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengisytiharkan Tahap Sekuriti 1 (Langkah Keselamatan 2) di Terminal Liquefied Natural Gas (LNG) berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan hari ini, JLM memaklumkan langkah itu diambil susulan amaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai ancaman terhadap kemudahan LNG di kawasan berkenaan.

“Pengukuhan kawalan sekuriti ini selaras dengan keperluan dalam Maritime Transport Security Plan (MTSP) dan Marine Facility Security Plan (MFSP). Semua pengendali pelabuhan dikehendaki melaksanakan peningkatan kawalan keselamatan dan melaporkannya kepada Maritime Transport Security Officer (MTSO) serta Designated Authority (DA) untuk pemantauan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, JLM bersama agensi keselamatan lain akan terus menilai perkembangan situasi bagi memastikan keselamatan serta integriti aset strategik negara tidak terjejas.

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan fasiliti strategik negara kekal selamat dan terkawal,” tambahnya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan ancaman berkenaan diterima melalui pesanan ringkas (SMS) daripada nombor telefon berdaftar di Indonesia kepada seorang petugas PETRONAS di Bintulu.

Beliau berkata, mesej tersebut mengandungi permintaan tertentu dan apabila tiada maklum balas diberikan, individu terbabit mengugut akan membakar fasiliti LNG negara.

Susulan itu, kerajaan meningkatkan tahap kawalan keselamatan di kemudahan LNG bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di Sabah.

BBerkaitan

Latest articles