KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam keras tindakan Israel melancarkan serangan udara di Doha, Qatar yang disifatkan sebagai pencabulan ke atas kedaulatan negara berkenaan serta mengancam keselamatan orang awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, serangan ke atas Qatar, sebuah negara yang menjadi pusat rundingan dan pengantaraan konflik di Timur Tengah jelas menunjukkan sikap tidak hormat Israel terhadap usaha diplomasi dan keamanan antarabangsa.
“Malaysia berdiri teguh bersama Qatar. Tindakan ini adalah penghinaan terhadap keamanan dan tidak boleh sama sekali diterima. Israel mesti dipertanggungjawabkan atas pencerobohan melampau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar turut menyeru komuniti antarabangsa mengambil pendirian tegas terhadap Israel agar keadilan ditegakkan dan kedaulatan negara-negara lain tidak terus dicabuli.