PUTRAJAYA: Empat pegawai kanan tentera yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata keputusan itu dicapai selepas siasatan lengkap diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk pertimbangan.
“Empat pegawai berkenaan akan dituduh di mahkamah, manakala seorang lagi pegawai akan dirujuk kepada Kementerian Pertahanan bagi tindakan tatatertib, termasuk kemungkinan dibicarakan melalui court martial,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan pegawai-pegawai terbabit telah digantung tugas bagi memberi laluan kepada siasatan.
SPRM sebelum ini melumpuhkan sindiket penyeludupan di selatan tanah air pada 13 Ogos lalu, yang dipercayai dikendalikan pegawai kanan tentera.
Sindiket itu didakwa membawa masuk dadah, rokok dan pelbagai barangan larangan dari negara jiran dengan nilai mencecah RM5 juta sebulan.
Selain anggota tentera, enam individu awam termasuk seorang warga Indonesia turut ditahan dalam operasi tersebut.
Azam berkata, status mereka kini sedang diteliti oleh pihak pendakwaan sama ada akan berdepan pertuduhan atau sebaliknya.