PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa di United Kingdom (UK) berhubung aset milik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan terhadap Mahathir masih berjalan dan pihaknya kini menunggu dokumen serta pengesahan rasmi dari luar negara.
“Ketika ini siasatan masih berlangsung. SPRM sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa UK mengenai aset yang dikaitkan dengan Tun M. Sebaik maklumat diperoleh, kita akan maklumkan kepada umum,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Sebelum ini, laporan media mendedahkan dua anak Mahathir iaitu Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir memiliki harta dianggarkan lebih RM1.2 bilion melibatkan pegangan aset dan saham.
Azam turut menjelaskan, berdasarkan pengisytiharan harta yang diterima SPRM, Mokhzani memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion, termasuk nilai peribadi (personal value) sekitar RM360 juta.
Sementara itu, Mirzan pula dilaporkan mempunyai aset berjumlah RM246.2 juta, dengan nilai peribadi sekitar RM120 juta.
Menurut Azam, angka berkenaan diperoleh hasil analisis forensik SPRM selain penilaian terhadap jumlah aset yang diisytiharkan sendiri oleh mereka.










