IPOH: Seorang wanita berusia 41 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada 31 Ogos lalu.
Tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, namun tiada pengakuan direkodkan.
Hakim Mohd Harith Mohd Mazlan kemudian memerintahkan Nurhaswani menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kekerasan terhadap Sultan Perak di hadapan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, kira-kira jam 8.20 pagi pada 31 Ogos 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Nur Izzah Farzana Mohd Tafkir, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Saravanan.
Nasrul Hadi ketika prosiding memaklumkan, pemeriksaan awal mendapati tertuduh menghidap skizofrenia, justeru pihak pendakwaan memohon pertuduhan dibacakan tanpa mengambil pengakuan.
Beliau turut memohon mahkamah membenarkan pemeriksaan lanjut dan pemantauan psikiatri dibuat di bawah Seksyen 11 dan 14 Akta Kesihatan Mental 2001, bagi menentukan tahap kewarasan tertuduh ketika kejadian serta kesediaannya untuk dibicarakan.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan insiden mengejutkan apabila seorang wanita naik ke pentas utama dan cuba menyerang Sultan Nazrin ketika lagu kebesaran negeri dimainkan.
Suspek difahamkan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain pernah menjalani rawatan psikiatri.