KUALA LUMPUR: Pengurusan Suria KLCC menegaskan insiden melibatkan seorang aktivis kemanusiaan yang didakwa dihalang memasuki pusat beli-belah itu baru-baru ini, tidak ada kaitan dengan isu politik.
Menurut kenyataan rasmi, tindakan tersebut diambil selepas individu berkenaan cuba membawa masuk sebatang kayu panjang walaupun telah diminta supaya tidak berbuat demikian.
“Langkah ini selaras dengan prosedur keselamatan kami yang melarang sebarang barangan berisiko mengancam keselamatan atau menjejaskan keselesaan pengunjung,” jelas pihak pengurusan.
Suria KLCC turut menegaskan peraturan itu adalah prosedur piawai yang terpakai kepada semua pengunjung tanpa mengira latar belakang.
“Kami ingin menekankan bahawa keputusan ini tidak berasaskan pendirian politik. Keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya lagi.
Pengurusan pusat beli-belah itu juga menghargai kerjasama orang ramai dalam memastikan suasana kondusif dan teratur dapat dikekalkan.
Terdahulu, tular video memaparkan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, bersama beberapa aktivis yang membawa bendera Palestin diarahkan keluar oleh pengawal keselamatan.
Kumpulan itu dipercayai baru selesai menyertai perhimpunan aman solidariti Palestin di sekitar ibu kota sebelum singgah ke Suria KLCC.
Mereka turut dilihat melaungkan slogan “Free Palestine” sambil membawa bendera sebelum dihalang pengawal keselamatan.