SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan dirinya bukan pengkhianat kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya penyokong paling setia.
Hamzah berkata, sepanjang bersama Bersatu, beliau sentiasa melaksanakan tanggungjawab sebagai orang kanan Muhyiddin, sama ada ketika menjawat jawatan Setiausaha Agung mahupun kini sebagai Timbalan Presiden.
“Sudah-sudahlah… saya mahu maklumkan kepada semua bahawa saya adalah penyokong nombor satu Presiden.
“Apa sahaja arahan, saya laksanakan sebagai orang kanan beliau. Jangan ada budaya cucuk-mencucuk kerana itu hanya menimbulkan perpecahan. Budaya kita adalah mengangkat martabat parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025, hari ini.
Hamzah turut menegaskan, beliau mahu dikenali bukan sahaja sebagai rakan seperjuangan, malah sebagai “adik” yang sentiasa berada di sisi Muhyiddin.
PAT Bersatu tahun ini berlangsung dalam suasana tegang berikutan wujudnya surat layang mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden.
Spekulasi mengenai wujudnya kem berbeza antara penyokong Muhyiddin dan Hamzah semakin diperkatakan selepas insiden kekecohan kecil tercetus malam tadi ketika Muhyiddin menyampaikan ucapan dasar.
Mengulas lanjut, Hamzah menyeru semua kepimpinan dan ahli Bersatu supaya tidak memilih kasih dalam memberi sokongan.
“Presiden dan parti perlukan dokongan semua, bukan hanya daripada sebahagian kecil pemimpin. Jangan berpihak kepada individu tertentu, sebaliknya berdiri teguh bersama barisan kepimpinan Bersatu yang ada hari ini,” katanya.